08 January, 2018

Sekolah Sesi 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ini sekadar catatan persekolahan anak-anak.

Along : Tahun ni Along dah masuk tingkatan 2. Sudah berpindah ke kompleks pengajian dan asrama yang baru dibina... dalam suasana kampung yang lebih tenang. Semoga lebih bersemangat dalam belajar dan hafazannya.

Angah : Angah dah tahun 6, tahun yang sibuk sebab nak menghadapi UPSR & PSRA di sekolah agama. Tahun ni dah kena pergi kelas tambahan kat sekolah yang wajib kena pergi setiap Sabtu. Nampaknya kalau kami nak balik kampung atau nak ke mana-mana kena merancang dulu melainkan ada kecemasan. Tahun ni juga dah perlu pergi kelas tuisyen subjek Math & B.I yang memang agak lemah.

Aina : Dah masuk tahun 3 anak dara ayah ni. Terasa begitu cepat masa berlalu. Tahun ni Aina bersekolah kebangsaan sesi petang, tak sama dengan Angah yang bersekolah sesi pagi.

Harapan ayah dan ibu semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak dalam pelajaran. Bagi kami asalkan anak-anak dah usaha dan belajar, tak dapat A pun tak apa (kalau dapat A itu bonuslah). Selebihnya serahkanlah pada takdir. Kalau result cemerlang tapi akhlak buruk pun tak guna juga. Yang paling penting taat pada perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya, tinggi akhlaknya, taat dan hormat pada ibu bapa dan guru, insya Allah berjaya dunia akhirat.

Sekian kisah 3 beradik kembali ke sekolah.



31 December, 2017

Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 7

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 5
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 6



JOHOR BAHRU - KULAI - PONTIAN - BATU PAHAT - SUNGAI BULOH

~ 28/12/2017; Khamis - Hari terakhir di Johor. Malam tadi dah makan besar... pagi ni sarapan maggi & mamee hot cup dalam bilik hotel je. New Boutique Hotel ni tak sediakan pakej sarapan. Hari ni keluar lewat sikit.

~ 9.20 pagi; 31km ke Johor Premium Outlet (JPO), Indahpura, Kulai. Tempat shopping pakaian ori jenama antarabangsa. Singgah sini nak tengok-tengok je dah alang-alang sampai Johor ni. Walaupun orang kata harga agak murah bila ada sale barang yang dah agak outdated, tapi bagi aku tetap mahal juga. Tapi sempat jugalah orang rumah sambar kasut Vincci sepasang... buat menggantikan kasutnya yang dah haus akibat banyak sangat berjalan sepanjang kat Johor ni... hihi. Sebelum meninggalkan JPO singgah makan crepe & aiskrim... makan ringan-ringan pun kenyang. Waktu operasi JPO ni dibuka dari 10am-10pm. Kawasan luas meliputi 130 outlet, sedialah untuk berjalan jauh kalau nak datang sini ye…



~ 11.45 pagi ; 67km ke Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. 1.20 tengah hari baru sampai. Merupakan penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Buka 8.30am-6pm. Kawasan hutan paya bakau yang kaya dengan flora dan fauna. Boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atas laluan pelantar kayu hingga sampai di glob iaitu mercu tanda yang didirikan untuk menandakan telah sampai di penghujung paling selatan tanah besar benua Asia. Ada satu lagi laluan boleh diikuti yang berakhir di penghujung jeti memancing. Keseluruhan taman ni boleh dijelajahi dalam masa kira-kira 45 minit - 1 jam. Tapi bagi aku tak berapa selesa nak menjelajah taman negara ni... perut buat hal...hihi..huhu!



~ 2.30 petang; 30km ke bandar Pontian. Solat jamak zuhur dan asar di Masjid Jamek Bandar Pontian. Kemudian singgah makan tengah hari di restoran Nasi Ayam Haji Ali, Taman Merdeka, Pontian. Sedap juga nasi ayamnya, kuah sos dan kicap nasi ayamnya tersedia atas meja boleh tambah sendiri.

~ 5.00 petang; Masa untuk balik… 73km menuju Ayer Hitam, ikut jalan lama tepi laut menghala ke Batu Pahat, melalui pekan Ayer Baloi, Benut dan Rengit. Sampai Ayer Hitam singgah gerai durian makan kat situ juga, siap ada lebih kami tapau dalam bekas plastik.

~ 6.40 petang; 276km (kira-kira lagi 3 jam perjalanan) untuk balik ke rumah… Dari Ayer Hitam memasuki Lebuhraya PLUS. Singgah solat jamak maghrib dan isyak di Kawasan Rehat Pagoh. Alhamdulillah selamat sampai di rumah pada jam 10.40 malam. Penat tapi puas.


FAKTA

* Jumlah jarak keseluruhan perjalanan pergi dan balik sepanjang jelajah 
meliputi 9 daerah di Johor selama 7 hari 7 malam ni adalah 1905 km

* Sepanjang 7 malam pengembaraan kami ni, kami bermalam di 7 jenis penginapan yang berbeza juga. Malam pertama sebaik sampai di Mersing kami bermalam di masjid, kemudian berkhemah di Mersing, diikuti homestay di Kluang, chalet di Batu Pahat, tumpang rumah saudara di Kota Tinggi, bermalam di kelong Ulu Tiram, dan akhir sekali hotel di JB... menarik kan?

* Kos petrol, tol & parkir, penginapan, bayaran tiket masuk tempat-tempat menarik, makan minum, ada shopping sikit-sikit dan perbelanjaan lain seperti dobi, umpan memancing, cenderahati dan sebagainya = Lebih kurang RM3200

Sekian catatan perjalanan untuk jelajah kali ni. Kami bukanlah orang kaya. Kena menabung lama juga untuk mencapai impian pengembaraan kami. Tujuan utama perkongsian pengalaman ni pun sebagai kenangan pengembaraan kami sekeluarga buat tatapan anak cucu nanti. Mungkin juga boleh menjadi panduan atau inspirasi kepada orang lain kalau ada yang berminat. Wassalam.

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula."
(Surah Al-Mulk: ayat 15)



Road Trip 7 Hari 7 Malam Jelajah Johor - Hari 6

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baca:
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Intro
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 1
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 2
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 3
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 4
Road Trip 7 Hari 7 malam Jelajah Johor - Hari 5


DAERAH JOHOR BAHRU

~ 27/12/2017; Rabu - 7.10 pagi; lepas solat subuh terus bersiap nak check out dari KSR Rakit Resort, naik bot kira-kira 5 minit je balik ke Jeti KSR, Kg. Pasir Salam, Ulu Tiram.



~ 7.30 pagi; Misi pagi ni mencari tempat sarapan. 42km ke Jalan Petri, Johor Bahru. Pagi ni agak sesak jalan nak ke JB maklumlah hari bekerja. . 8.50 pagi barulah sampai tempat yang dituju...Restoran ZZ Sup Tulang. Menu istimewa di sini adalah mi rebus tulang, sup tulang, dan lontong kering. Waktu buka 7am-1am. Memang berselera makan mi rebus dan lontong keringnya yang sedap, tambah pulak makan dalam suasana nyaman di wakaf bawah pokok rendang.



~ 9.30 pagi; 20km ke Legoland Malaysia Theme Park, Nusajaya. Perbelanjaan terbesar setakat ni. Mulanya tak rancang nak ke sini bila memikirkan harga tiket yang mahal. Tapi bila dapat free voucher dari KFC masuk Legoland percuma untuk 2 orang kanak-kanak umur 3-11 tahun, dengan syarat perlu beli 2 tiket dewasa harga penuh... bolehlah dipertimbangkan sebab boleh jimat sikit. Kanak-kanak umur 12 tahun ke atas dah kira harga dewasa.

Harga penuh tiket dewasa RM199x2= RM398, Angah dan Aina masuk percuma, manakala Along masuk guna tiket promosi MyKad berharga RM149. Total RM547. Bayaran parkir pulak RM10 sekali masuk. Belum kira makan minum kat dalam Legoland yang pastinya harga lebih mahal berbanding kat luar. Mungkin sekali ni je lah ayah bawa anak-anak ke sini ye...

Waktu operasi Legoland ni bermula 10am-7pm. Jadi kenalah manfaatkan harga tiket masuk yang mahal tu dengan menghabiskan masa seharian dalam Legoland ni. Ada 8 bahagian semuanya dalam Legoland iaitu The Beginning, Miniland, Lego Technic, Lego Kingdoms, Imagination, Land of Adventure, Lego Ninjago World dan Lego City. Rujuk peta Legoland di SINI. Dikecualikan Legoland Waterpark sebab kena beli tiket berasingan atau kena beli tiket kombo kalau nak masuk kedua-dua Legoland Theme Park dan Legoland Waterpark sekaligus.

The Beginning

Miniland

Lego Technic

Lego Kingdoms

Imagination

Land of Adventure

Lego Ninjago World

Lego City

Alhamdulillah sempat habiskan semua bahagian (walaupun tak sempat main semua permainan). Memandangkan sekarang musim cuti sekolah, ramai sangat pengunjung termasuk dari luar negara, nak main setiap permainan kena beratur panjang. Mujurlah juga ada Along yang pernah datang ke sini ikut rombongan sekolahnya selepas UPSR dulu... dialah yang jadi penunjuk arah. Alhamdulillah juga kerana cuaca hari ni cukup baik... tak hujan dan tak panas sangat. Kalau hujan ada permainan yang akan ditutup, rugi la sebab tiket tak boleh refund.

Rasanya harga tiket masuk ke sini boleh dikatakan berbaloi jugalah kerana ada lebih daripada 40 jenis permainan, pertunjukan dan tarikan. Tumpang seronok tengok anak-anak gembira. Seronok sangat nampaknya sampaikan dah tengah hari pun diorang macam tak lapar je, jadi kami makan waffle aiskrim je... bagus... bagus... jimat sikit... haha!

~ 7.30 malam; keluar dari Legoland, 22km ke New Boutique Hotel, di tengah pusat Bandaraya JB. Malam terakhir di Johor ni kami nak merasa duduk hotel la pulak. Dah tempah awal-awal family room RM167 melalui booking.com.

~ 9.00 malam; selesai mandi dan solat jamak maghrib dan isyak, keluar 12km ke Kampung Senibong, Permas Jaya, JB. Tempat ni memang terkenal di kalangan penggemar makanan laut sama ada warga tempatan mahupun Singapura. Ada beberapa restoran di sini tapi kami singgah di restoran yang paling depan sekali iaitu Selera Senibong Seafood (SSS). Terletak di tebing Selat Johor, sambil makan boleh layan pemandangan kerlipan cahaya lampu dari negara jiran, Singapura.

Anak-anak dah lapar, keletihan seharian di Legoland tadi dan si Aina pun dah mengantuk... dan aku pun dah malas nak fikir dan pilih lauk, kami pesan menu yang dah ada dalam set je lagi senang. Dalam set tu ada ketam masak telur masin, siakap stim halia, udang butter, sotong goreng tepung, kupang masak cili kering, tomyam campur dan sayur kailan ikan masin serta air satu jag. Malas cerita banyak, senang cerita semua sedap dan makan pun puas hati. Dah melantak tak ingat dunia, masa bayar pun kena buat-buat puas hati juga la jangan tak puas hati pulak... hehe.


~ 11.00 malam; 12km balik ke tempat penginapan, New Boutique Hotel.


Sekian catatan hari keenam.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...