15 January, 2006

TITIAN PERJALANAN part 3 - 2000-2005

sambngan dari Part 2...

 Tahun 2000, aku mula mencatat apa2 yg berlaku dlm hidup aku...macam diari. Tapi takdelah tulis hari2, cuma catatan ringkas bila ada peristiwa2 yg aku rasa penting dalam hidup aku, yang mungkin di luar dari kebiasaan... Aku ni jenis manusia pelupa, mungkin sebab kepala hotak aku cuma boleh ingat memori jangka pendek je, atau mungkin sebab banyak sangat termakan semut & kepala ikan...haha. Jadi kalau aku tak catat, susah aku nak refresh balik memori jangka panjang aku. Dan memandangkan buku catatan tu dah nak lunyai...maka aku transfer'kan ke blog ni perkara2 yg aku rasa penting:

Mei 2000; Suatu pagi, nak pergi kerja macam biasa, motor jipang aku tu hilang pulak. Puas aku cari keliling flat (masa ni masih duduk kat Cheras). Motor buruk camtu pun ada orang nak curik??? Bedebah betul! Takde motor ni patah kaki la aku jawabnya. Tapi perkara yg buruk tu mungkin ada hikmahnya.Tak lama lepas hilang motor, aku akhirnya diserap ke jawatan tetap dgn gomen, selepas 3 tahun kerja sambilan. Alhamdulillah! Orang yg tak bercita2 tinggi macam aku ni, makan gaji sampai pencen la rasanya. Walaupun bapak aku orang bisnes, tapi otak bisnes tu macam tak menurun pulak kat aku..heh!

Julai 2000; Saja cari pengalaman jadi pembanci utk Banci Penduduk & Perumahan yg dijalankan 10 tahun sekali, buat kat rumah flat & teres kat Segambut.

September 2000; Dapat bayaran buat banci hari tu, terus beli motor baru, Kriss. Senang sikit nak bergerak...tak larat dah nak tumpang member atau naik bas kalau nak ke mana2.

Oktober 2000; Pindah rumah kat Flat Taman Kosas, Ampang...dgn bebudak satu ofis.

Disember 2000; Beli handphone pertama dlm hidup aku...Nokia 3210, model hp murah yg popular masa tu...mesti ramai yg pernah ada hp ni kan?

Mei 2001; Kena pergi kursus Biro Tatanegara (BTN) kat Kem Putra Peringat, Kota Bharu. Seminggu padat dgn aktiviti2 ceramah, latihan dlm kumpulan, kawad dll...layan je lah.

November 2001; Sepanjang tahun ni aku banyak join aktiviti mendaki gunung. Mula2 ikut kawan, lama2 naik syok pulak, terus terjebak... nanti aku buat posting lain khusus pasal xpdc mendaki yg aku join. Nak dijadikan cerita, 'tersangkut' dgn sorang awek ni...pun jumpa kat atas puncak gunung...heh!

Jun 2002; Kena pergi Kursus Induksi jabatan sebagai salah satu syarat utk disahkan dlm perkhidmatan. Bertempat di Golden Straits Villa Beach Resort, P.Dickson, 2 minggu lepak kat sini...adehhh. Pagi... petang... malam...kejenya dgr ceramah je lah. Rasa nak termuntah dah dgr ceramah! Paling tension sebab tak dapat tengok bola World Cup Japan/Korea... aarrgghh!

Julai 2002; Loan JPA masa belajar dulu dah kena bayar balik. Nasib baik dapat diskaun sikit pasal belajar tak sempat khatam! Ofis aku pun dah pindah dari KL ke Shah Alam, makin jauh nak gi kerja... berulang dari Ampang-Shah Alam boleh tahan juga jauhnya. Rasa macam nak pindah tapi cuba bertahan dulu.

Ogos 2002; Tengah bulan, awek kena denggi, kena tahan kat wad 8 hari. Akupun sama duk makan tido kat wad temankan dia...kira dah tahap serius dah aku & dia ni. Hujung bulan masa cuti merdeka, ikut awek balik kampung dia kat Ipoh. Dah tackle anak, dah bawak ke hulu ke hilir...kenalah tackle mak bapaknya pulak. Selamba kodok je aku sorang2 merisik & berbincang nak hantar rombongan meminang & bertunang tak lama lagi...gamble! Rasa2nya misi berjaya! Nasib baik diorang mcm sporting je. Kalau diorang jenis orang yg betul2 ikut adat memang confirm kena penampar dah aku ni...sure reject... kui3. Bukan apa, sebab aku fikir tak nak menyusahkan famili aku datang banyak kali nak uruskan pasal usaha2 pembinaan masjid ni. Jauh juga Pahang-Perak tu, kesian org tua aku tak larat jalan jauh.

September 2002; Bawa awek balik kampung aku, kenalkan bakal menantu kat famili aku pulak.

21 Disember 2002; Lepas subuh, bertolak dari kampung aku ke Ipoh, 2 kereta 1 van...sampai Ipoh 1.00 pm. Bla...bla...bla...Alhamdulillah dah selamat ditunangkan...tempoh 6 bulan. Darah tengah manis wa cakap lu! Hehe.

Mac 2003; Sibuk menguruskan persiapan nak kahwin...pergi kursus kahwin, settlekan borang2 nikah, test baju pengantin, siapkan barang2 nak buat hantaran dll.

April 2003; Pergi rumah abah aku setelah dekat 13 tahun tak pernah berjumpa, semata2 utk memberitahu yg aku dah nak kahwin. Jumpa juga mak tiri & adik2 tiri aku yg baru aku tau ada 6 orang rupanya, semua dah besar2 belaka. Penerimaan diorang pun ok je dan harap2 lepas ni hubungan keluarga akan pulih semula.

Mei 2003; Pindah rumah sewa kat Kg Melayu Subang, duduk sorang2 dulu. Dua minggu sebelum kahwin sempat lagi aku join kawan2 gi mendaki Gunung Tahan. Habis calar balar badan aku camno nak naik pelamin nanti...kui3.

Jun 2003; Dengan sekali lafaz "aku terima nikahnya si anu bt si anu dgn maskahwinnya RM101.00 tunai"...maka sahlah aku dah jadi laki orang. Macam tak caya pertama kali bercinta terus kahwin. Macam tak caya awek yg aku jumpa atas gunung ni dah jadi bini aku. Macam tak caya juga aku dah jadi laki orang. Tapi semua tu aku terpaksa percaya...hehe! Seminggu lepas tu buat majlis kecil2an pulak kat kampung aku. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat...Aamiin!

September 2003; Bini aku dah mengandung 2 bulan, baru ada masa & bajet nak gi honeymoon kat Tioman. Bukanlah pergi berdua tapi dgn geng2 pendaki (diorang nak lepak pantai pulak). Lepak 3 hari 2 mlm kat chalet Kg. Mukut. Aktiviti: snorkeling sambil dikerumuni ikan2 jinak kat Taman Laut, snorkeling lagi kat beberapa pulau kecik, sukaneka kat pantai Kg. Juara, bbq & karaoke. Merasa juga pengalaman naik bot meredah ribut. Fuhh...kecut perut aku!

Oktober 2003; Dapat baucer penginapan 3 hari 2 mlm kat Hotel Legend, KL. Baucer tu abang ipar aku dapat lucky draw family day ofis dia, tapi dia malas nak pergi. Dah org bagi free ambik je lah. Menginaplah aku 3h 2m kat situ, sambung honeymoon. Ronda2 sekitar KL, lepak shopping complex, tengok wayang & naik Menara KL. Rasa macam pelancong asing pun ada, hehe!

November 2003; Baru ambik lesen memandu. Terus beli kereta Iswara sedan. Dah berkeluarga ni kenalah pakai kereta. Masa bujang dulu bolehlah merempit dgn motor je kalau nak ke mana2.

1 Mei 2004; 12.39 pm, aku dah jadi ayah. Walaupun kedudukan bayi songsang & terpaksa dibedah, bini aku selamat melahirkan seorang anak lelaki. Selamat datang anak sulungku Aiman Izzuddin. Rasa macam tak percaya aku dah ada anak...dan tanggungjawab pun bertambah...

Julai 2004; Pindah masuk ke rumah apartment yg baru dibeli di Sg. Buloh. Setelah bertahun2 menyewa, akhirnya merasa duduk rumah sendiri.

Sepanjang tahun 2005, kehidupan aku biasa2 je...menjalankan tanggungjawab rutin sebagai suami dan ayah.

Maka setakat tu je lah 3 siri Titian Perjalanan dari 1975-2005. Mulai tahun 2006, catatan perjalanan hidup aku mula ditulis dalam blog ni. Wassalam.

* 3 siri Titian Perjalanan aku ni mengambil masa berbulan-bulan utk disiapkan, bergantung kpd kelapangan masa, kerajinan, ikut mood & ikut suka hati akulah!...

10 January, 2006

TITIAN PERJALANAN part 2 : 1991-1999

sambungan dari Part 1...

1991 – Form 4, tahun honeymoon....!!! Aku tak berapa ingat kisah2 zaman sekolah yg nak diceritakan. Takde yg luarbiasa sangat kot. Kalau nakal pun setakat nakal yg biasa2 je. Cuma seingat aku masa ni aku jarang duk rumah, selalunya melepak makan tidur kat rumah sewa kawan2 yg lebih berumur (kebanyakannya mat2 kilang laa). Aktiviti? Malas nak cerita, lu pikirlah sendiri. Atuk, nenek & pakcik aku pun macam buat tak kisah je.. Lagipun tempat aku lepak tu taklah jauh sangat dari rumah aku, kira-kira 100 meter je.

 Tingkatan 4


1992 – Form 5. Masa sekolah menengah ni (dari Form 1 – Form 5) boleh dikatakan aku agak anti sosial. Langsung tak join sebarang aktiviti sekolah...baik sukan, persatuan, kelab dan ntahapahapa lagi... Menjadikan aku seorang yg tak begitu dikenali. Tiada juga sebarang penglibatan dalam skandal cinta monyet, mungkin sebab aku tak hensem (haha) jadi takde awek minat kat aku, mungkin sebab aku anti sosial, dan mungkin sebab aku ni dari kecik kurang dapat nenen susu ibu (maksudnya kurang kasih sayang la tu) menyebabkan aku tak reti nak berkasih sayang...hahaha...jiwang2 tak main laa.

Tingkatan 5

Dah puas honeymoon masa form 4, tahun ni exam SPM yg bakal menentukan masa depan aku. Seperti biasa, org jenis pemalas nak study macam aku...1-2 minggu nak exam barulah nak belek2 nota & buku. Hentam sajalah labu!


1993 – Result SPM keluar. Sekali lagi, wow! Gred 1 agg.14. Kira boleh tahan la tu bagi budak sekolah kampung macam aku. Alhamdulillah walaupun malas nak study tapi mungkin sebab aku ni jenis terang hati, dapat gak result yg kira bagus lah bagi aku (macam riak je). Siap ada awek dari majalah sekolah nak interview aku, katanya aku 2nd best student SPM....laa ye ke??? Baru aku tau. Aku pun layan la jawab soalan2 dia.

Cikgu2 pun siap pesan jangan lupa isi borang UPU (mintak masuk U la tu). Aku pun isi laa...dan keputusannya...dukacita dimaklumkan tak dapat! Aku pun tak kisah sangat pasal aku ingat lepas SPM aku nak kerja kilang papan dekat rumah aku tu jer... Cheh, ntahapahapa la pemikiran aku masa tu, takde cita2 tinggi langsung.

Tak lama lepas result keluar, dapat panggilan masuk Form 6 kat SM Abu Bakar, Temerloh. Tak berapa jauh dari rumah aku (kira-kira 20 km) tapi kena naik bas dua kali. Sampai sekolah pun manjang lambat je. Kat sini barulah aku aktif sikit...join main bola, dilantik jadi ketua kelas dan AJK persatuan tingkatan 6, hahaha jangan tak caya... agak popular pulak aku kat sekolah ni. Tapi aku sekolah sini 2-3 bulan je sebab dapat pulak panggilan masuk Kolej Tingkatan 6 kat SM Sains Muar, Johor.

Lower 6, Temerloh

Kolej Ting. 6 ni masa tu (sekarang takde dah) satu program Kementerian Pelajaran untuk budak2 seluruh Malaysia yg mintak U tapi tak dapat sebab tak cukup syarat agaknya, maka yg terpilih dikumpulkan menumpang kat satu sekolah. Mula2 tu berat juga rasa nak pergi pasal kena duduk kat asramalah pulak. Payahlah aku nak kerja part time cari duit poket. Rasa macam tak best je mintak duit kat pakcik (Busu) & makcik aku (Achik). Pikir punya pikir aku pergi jugalah. Merantau pulak tengok tempat orang. Belajar2lah ikat perut. Bila dah kering sangat baru mintak kat diorang.

1994 – Upper 6, dah jadi senior. Tahun ni exam STPM. Lain macam rasanya duk sekolah asrama penuh ni. Bergaul pulak dgn budak2 yg betul2 pandai, macam pandai, berlagak pandai dan tunjuk pandai...sikit sebanyak terpengaruh juga dgn cara diorang belajar. Kalau dulu lagi seminggu nak exam baru sibuk study, tapi kat sini lagi sebulan nak exam aku dah study betul2 (hehe upgrade sikit je).

Upper 6, Muar

Masa form 6 ni lah, buat pertama kalinya baru aku ada perasaan minat kat sorang awek junior ni, yg pada pandangan mata aku...lemah lembuuuut...sopan santuuuunnn....!!! Hahaha. Aku yg kasar ni memang cair dengan orang yg sifatnya macam tu. Tapi macam yg aku cakap tadi, bab berkasih sayang ni aku tak berapa reti nak meluahkan, jadi aku kacau awek ni gitu2 je la... dan aku rasa dia pun tau aku minat kat dia, cukuplah...ada gak rasa cinta monyet buat geli-geli zaman sekolah, hahaha!


Habis exam, balik lepak kat kampung je. Kerja sementara kat kilang papan yg biasa aku kerja tu. Dah bosan tengok kayu & papan, aku kerja kat kilang buat batu bata pulak. Nak buat camne...kilang2 jenis kerja berat macam ni je yg ada kat area kampung aku tu.

Lepas 2-3 bulan lepak kat kampung, ikut member mintak kerja kat Genting H'lands. Dapat kerja jadi atendan theme park, kerja main2 sambil menjaga tempat permainan. Hari jumaat, sabtu, ahad dan hari cuti memang busy gila pasal ramai customer. Tapi dari hari isnin sampai khamis memang rilek gila...takde customer. Siap boleh mengular turun KL lagi...petang naik balik untuk punch card...hohoho. Hidup kat tempat maksiat ni, maka life aku kat sini agak lebih sosial (dulu anti sosial). Sosial yg macam mana??? Sekali lagi lu pikirlah sendiri!!! Takkan aku nak cerita keburukan aku lebih2 ye tak?

1995 – Result STPM diumumkan. Aku tak ambik tau pun, malas nak gi tengok, dah malas nak belajar. Sebulan lepas tu baru aku pergi Muar ambik result. Sampai sekolah terus kena bambu...”Pekung punya budak, dah 2 kali aku hantar telegram baru ngko nak datang ambik result???”...kata Cikgu Ramli Aziz yg masih aku ingat lagi sampai hari ni...hehe. Bila tengok je result, perrghh... dapat 5 Prinsipal (A,B,C,E,E), 58 unit.Tak sangkalah pulak, study main2 je. Apapun lepas tu aku masih terus kerja kat Genting. Memang dah takde rasa nak belajar langsung masa tu.

ni masa pakcik muda2 dulu... zaman lepas sekolah

Julai '95, nenek tersayang meninggal. Aku tengah kerja, kebetulan masa tu jalan susur masuk ke Genting ada tanah runtuh (tak silap aku berpuluh juga yg mati). Terpaksa balik ikut jalan jauh, tengahari balik malam baru sampai kampung. Sempat la tolong kebumikan jenazah arwah nenek ke liang lahad keesokan harinya. Pakcik aku (Busu) kata, sebelum arwah meninggal dia ada pesan suruh aku sambung belajar lagi...alamak beratnya nak aku tunaikan!

1996 – Mac; berhenti kerja kat Genting. Balik lepak kat kampung sekejap. Sekali sekala turun KL lepak dgn kawan2 lama. Ramai juga yg dapat masuk U, dah bergelar mahasiswa. Jeles pulak aku tengok diorang, macam bagus je. Aku pun try la mintak...terasa macam nak belajar balik.

Julai; Tak sangka! Dapat tawaran belajar kat Universiti Malaya, Fakulti Undang2. Perghh...dahsyat tu. ..macam mana boleh dapat law course ni..sedangkan rasanya course tu pilihan terakhir aku drpd 5 pilihan. Apapun pergi jugalah. Terpaksa bergolok bergadai, duit simpanan pun ada la sikit, Busu & makcik2 aku pun ada tolong bagi modal.

Maka pergilah aku sorang2 dengan beg haversack (macam nak gi camping pulak) mendaftar masuk U. Untuk semester pertama ni dapat duk hostel, dekat Sek.17 PJ...lepas tu kena sewa rumah kat luar, pandai2lah. Disebabkan aku skip setahun lepas exam STPM, maka kawan2 sebaya masa sekolah dulu dah jadi senior aku pulak.

1997 – Banyak juga pakai duit belajar kat U ni. Duit loan JPA habis buat bayar yuran je. Kalau ada lebih sikit pun cukup2 utk belanja makan minum & minyak motor. Memanjang kena ikat perut. Nak mintak duit kat Busu & Achik rasa macam tak best je, seboleh2nya dah tak nak menyusahkan diorang. Buat keputusan buat kerja part time steward (basuh pinggan daa...) malam2 kat hotel PJ Hilton... jimat sikit sebab dapat makan free.

Bila kerja malam, siang dah ngantuk pulak, kuliah pun selalu ponteng. Lagipun rasanya aku tak dapat nak sesuaikan diri dengan cara belajar kat U ni...masa sekolah menengah dulu bolehlah study last minute. Tiba2 rasa malas nak belajar dah datang balik, mental tak cukup kuat dan kepala hotak dah jem!

Jun; Masa ni dah duduk rumah sewa kat Pantai Dalam. Lepas final exam 1st year, aku blah macam tu je...babai UM! Minta maaflah tak dapat nak membalas jasa orang2 yg banyak menanggung aku selama ni. Kadang2 terasa macam aku ni...bak kata orang nogoghi...mengabihkan boreh yoo..!!! Tapi hidup perlu diteruskan... Tak perlu cop aku sebagai 'loser' semata2 tak habis belajar kat U. Rezeki ada di mana2 beb! 

Julai; Atas bantuan seorang kawan lama, aku dapat kerja di sebuah jabatan kerajaan sebagai kakitangan sambilan. Dalam banyak2 kerja yg pernah aku buat...rasanya inilah kerja yg paling sesuai dgn jiwa aku walaupun gajinya tak seberapa. Kerjanya lebih banyak di luar pejabat...rasa bebas dan tak terikat sangat.

1999 – Masih kerja di tempat sama, tak tahu sampai bila. Dengan taraf sebagai kakitangan sambilan, bila2 masa boleh kena tendang. Tahun ni juga atuk aku meninggal, sakit tua. Tak silap aku tahun ni juga aku pindah duduk asrama bujang kat Kompleks Belia Bandaraya, Cheras.

Bersambung lagi Part 3...

05 January, 2006

TITIAN PERJALANAN part 1 : 1975-1990

Satu perjalanan panjang...Tiada yg menarik, sekadar kisah peribadi aku, untuk renungan anak cucu aku nanti. Kalau ada yang baik, jadikan teladan. Yang buruk tolak ke tepi jadikan pengajaran. Kalau rajin baca, tak nak sudah. Ini kisahnya:

25 Julai 1975, bersamaan 16 Rejab 1395, Jumaat 12.00 pm - Lahirlah seorang bayi comel (agaknya) di Kg Paya Siput, Lanchang, Pahang. Itu aku! Anak kacukan cina (bapak aku) + jawa (mak aku). Disambut sendiri oleh nenek aku yang juga merupakan bidan kampung bertauliah.

Krisis rumahtangga melanda. Umur aku baru kira-kira tiga bulan, abah & mak bercerai. Aku & mak balik duduk dengan atuk & nenek aku. Hidup memang susah masa tu. Atuk cuma kerja kampung. Mak terpaksa kerja di kilang getah dan aku dijaga oleh nenek (kalau dia tak sibuk membidankan/mengurut orang) & makcik-makcik aku.

 

1981 – Dah sekolah tadika St. John di Mentakab, 11 km dari rumah, kena naik bas sekolah. Masa ni abah & mak masing-masing dah kahwin lain. Mak kahwin dengan seorang duda anak 4 dan tinggal di sebuah felda di Triang. Mula-mula mak bawa aku duduk sama, tapi bertahan lebih kurang sebulan je sebab asyik kena buli dengan adik beradik tiri aku, terus nenek aku ambil balik duduk dengan dia. Aku jumpa mak masa cuti sekolah je. Kesian mak menderita dalam diam tak dapat nak jaga anaknya yg comel ni. Dan aku, sebab dah terbiasa hidup macam ni dari kecik, tak ambil kisah pun. Dah takdir, terima sajalah.

Dengan suami baru, mak dapat lagi dua orang anak perempuan. Abah aku pulak kahwin dengan anak dara. Hubungan aku dengan abah agak dingin, bercakap pun cuma sepatah dua. Aku cuma jumpa abah sebulan sekali je, itupun sekejap je pasal nak ambik duit belanja nafkah aku.


1982 – Masuk Darjah 1 kat Sek. Ren. Abu Bakar, Mentakab. Aku ingat lagi nama kelas aku masa tu, 1 Oren...hahaha. Sekolah sini sampai darjah 2 Oren je. Nasib baik takde kelas 2 Sirap!

inilah budak-budak kelas 2 Oren...

1984 – Darjah 3, bertukar ke sekolah yang baru dibina dekat kawasan kampung aku, hanya 1km dari rumah, Sek. Keb. Desa Bakti, Mentakab. Pergi sekolah jalan kaki je. Nama kelas aku dah tak ingat pasal ala-ala skema macam Bersih, Cekap, Amanah. Cer bagi nama Oren senang la nak ingat...hehe.

1985 – Darjah 4. Disunatkan beramai-ramai tanpa belas kasihan kat Sek. Keb. Rantau Panjang, Lanchang. Lebih kurang 30 orang yg nak disunatkan termasuk beberapa sepupu aku, dan aku dapat angka giliran no. 3 kalau tak silap aku. Lega, tak payah tunggu giliran lama sangat, seram juga dengar budak-budak sebelum aku menjerit kesakitan. Macam mana la kalau aku dapat giliran ke-30...mau terkencing aku agaknya.

1986 – Exam Penilaian Darjah 5, dapat 3A 2B...kira OK le tu. Walaupun aku agak nakal dan malas belajar, tapi alhamdulillah aku dikurniakan otak yg agak cerdas dan hati yang agak terang... aku agak je tu. Masa sekolah rendah ni, kalau exam aku sentiasa dalam ranking top-5 laa. Sekarang ni penilaian darjah 5 dah takde, ganti dgn UPSR.

1987 – Darjah 6, entah macam mana dilantik jadi pengawas, walaupun agak nakal. Bergaduh je kejenya, kacau orang, pow duit kat budak-budak junior untuk menambahkan duit belanja aku yang sikit tu. Alah, pow seposen sorang je, kalau pow 5 orang dah dapat lima posen... (Amaran: jangan tiru aksi ini di sekolah!). Masa rehat cikgu suruh bertugas tapi aku pergi main bola atau main guli kat padang...hehe

Darjah 6

Kalau kat kampung, aku mengamalkan prinsip harta orang harta aku, kebun orang kebun aku... dahlah curik buah kat kebun orang, siap pergi jual lagi, teruk betul bila dikenang balik. Yang paling aku tak boleh lupa, kenakalan aku pernah hampir meng'arwah'kan sorang budak masa berkubang dalam kolam ikan orang. Gaduh pasal apa entah, aku benamkan kepala dia dalam kolam sampai hampir lemas, naik biru pucat dah muka dia. Kawan-kawan angkat ke tebing badan dia dah lembik semacam je. Bila diorang pergi mengadu kat bapak dia, aku pun cabut lari la. Agaknya pastu bapak dia yang kebetulan ustaz yang ajar aku mengaji mengadu kat atuk aku, kena kejar pulak dengan batang kayu keliling kampung.

Bila tertangkap, atuk aku libas cukup-cukup pastu dia ikat aku kat pangkal pokok dan dibiarkan sampai malam. Meraung la aku ketakutan. Agak-agak dah lama juga lepas tu nenek aku datang lepaskan...lega. Nenek memang kool! Lepas peristiwa tu, ustaz tu dah tak nak ajar aku mengaji dah. Cerita bab mengaji ni, tak silap aku ada 6 orang ustaz yg silih berganti mengajar aku. Dua daripadanya separuh jalan tak nak ajar aku pasal bengang aku belasah anak diorang...hahaha kelakar pulak bila diingat balik.

Pernah juga aku baling batu kat sorang budak perempuan sampai berdarah dahi lalu bapaknya mengadu kat atuk aku. Apalagi, makan talipinggang la aku jawabnya. Atuk aku ni memang agak brutal dan panas baran orangnya, almaklumlah bekas guru silat merangkap pengikut Kiai Salleh Selendang Merah. Mungkin sebab kenakalan aku, satu buah silat pun dia tak turunkan kat aku. Yang selalu aku dapat, 'buah tangan' dia je. Terpaksalah menuntut kat guru lain. Walaupun gitu, aku tau atuk sayangkan aku.

1988 – Naik Tingkatan 1 kat S.M Datuk Bahaman, Lanchang. Abah aku dah sound, kalau nak dia tanggung belanja sekolah, aku kena duduk dengan dia sambil tolong kerja-kerja kat kilang perabot rotan dia. Hubungan abah dengan keluarga sebelah mak aku memang tak berapa baik. Atuk & nenek yang hidup susah terpaksa (agaknya) melepaskan cucu kesayangan mereka ni tinggal bersama abahnya.

Tingkatan 1... keciknya aku...

Maka akupun pindahlah ke rumah abah, jarak dengan rumah atuk & nenek tak jauh mana, cuma kira-kira 10 km je. Hiduplah aku bersama mak tiri dan 4 orang adik tiri aku. Layanan mak tiri aku ok je, takde la macam mak tiri dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah tu. Hubungan dengan abah pulak seperti biasa...dingin. Setiap kali cuti hujung minggu, aku balik rumah atuk & nenek. Masuk je sekolah menengah ni, mula belajar-belajar hisap rokok, curi rokok abah aku, tapi hisap luar waktu sekolah je. Tahap kenakalan rasanya dah berkurangan, low profile. Lagipun tumbesaran yg agak lambat menjadikan aku antara budak paling kecik kat sekolah. Kalau bergambar satu kelas mesti aku kena berdiri tepi sekali...huhu.

1989 – Tingkatan 2. Takde rasa gembira duduk dengan abah. Sebelum pegi sekolah (petang) kena kerja cuci rotan dulu, kawan takde, jiwa kacau. Cuma makan pakai agak mewah, badan aku pun agak debab time ni...melantak je kejenya. Tapi pelajaran makin merosot, kalau exam, gerenti duk kat ranking no. 20 ke atas dalam kelas. Seingat aku pernah juga dapat no.2 dari belakang, hehe...mengabihkan boreh betul.

Tingkatan 2

Disebabkan tu, menjelang cuti akhir tahun, abah aku suruh cuti terus, berhenti sekolah la tu maksudnya, tolong dia kerja full time. Mana boleh! Hanya kat sekolah je hati aku gembira sikit ada ramai kawan. Paling aku tak boleh terima, abah dah tak bagi langsung aku balik rumah atuk & nenek. Sekali lagi mana boleh! Diorang tu la yang membesarkan aku dari kecik, lagipun aku ni kan cucu manja diorang...heh! Nekad! Bungkus buku-buku & kain baju cabut lari balik duduk dengan atuk & nenek.

Sejak hari tu aku dah tak pernah jumpa abah aku lagi (termasuk mak tiri & adik2 tiri aku), dan dia pun tak pernah nak jumpa aku, walaupun rumah tak jauh mana. Tak tau kenapa. Agaknya masing-masing sama-sama keras hati kot. Terus terang, sebenarnya aku takde perasaan apa-apa kat abah aku tu...sayang pun tak, benci pun tak, marah pun tak...ntahlah susah nak diterangkan.

1990 - Tingkatan 3. Atuk & nenek pun dah tak berapa sihat. Pencari rezeki keluarga ni sekarang adalah Achik (makcik aku yang belum kahwin) dan adiknya Busu (pakcik aku) yang masih tinggal bersama kami walaupun dah kahwin. Diorang yang hanya kerja kilang getah jugalah yg menanggung persekolahan aku seadanya. Akupun time lepas waktu sekolah & cuti sekolah, kerja part time kat kilang papan, lepaslah buat belanja sekolah sikit-sikit dan err...belanja rokok. Hampeh!

Tingkatan 3

Tahun ni exam SRP (sekarang PMR). Lagi seminggu nak exam baru sibuk nak baca buku (benda yang paling aku menyampah sekali). Apapun, masa cikgu mengajar dalam kelas,aku bagi tumpuan sepenuhnya. Bila result keluar, dapat gred A, agregat 12. Wow! Boleh tahan!

Bersambung Part 2.......

01 January, 2006

Salam Kenal


Assalamualaikum.

Tentang blog...

Selamat datang ke blog suka-suka aku ni...sekadar untuk mengisi masa lapang. Biasanya aku online antara 10.00pm hingga 12.00am-1.00am...bila anak bini dah tidur tapi aku jenis tak reti nak tidur awal dan tv/astro pulak takde cerita yang boleh layan.

Aku bukannya pandai sangat pasal internet ni. Mula-mula aku melayari internet kat rumah aku ni percuma je. Aku pun tak tau macam mana boleh ada internet kat laptop aku ni, mungkin tumpang tempias-tempias wireless network/wifi jiran-jiran aku kot (Baca: Hukum Guna Wifi Jiran). Cuma kekadang takde network, kekadang laju, kekadang slow nak mampus, tak kisahlah bukannya aku bayar pun! Dekat 2 tahun juga la aku pakai internet free, tapi lepas pindah rumah lain, terpaksa la juga guna berukband.

Disebabkan suatu hari tu aku tak tau nak tengok apa lagi dah dalam internet ni, maka aku cuba-cubalah buat blog. Mula-mula saja suka-suka tapi lama-lama rasa macam best pulak...walaupun mungkin sekadar syok sendiri je. Rasa nak berkongsi pasal peristiwa-peristiwa penting sepanjang perjalanan hidup aku dan apa yang berlaku di sekeliling aku dengan kawan-kawan, keluarga dan semua yang mengenali aku, yang ingin mengenali aku kecuali yang tak hingin mengenali aku.

Mungkin juga bila aku dah arwah nanti, blog ni boleh dijadikan kenang-kenangan untuk anak cucu aku. Owh...reti jugak ayah/atuk mereka ni berblog ye... Dengan adanya blog ni juga, dapat refresh balik apa yang aku dah buat sepanjang hidup aku. Maklumlah bila dah tua mungkin aku jadi semakin pelupa. Mana le tau nanti, anak cucu bertanya; "Apa ayah/atuk buat masa muda-muda dulu ye? Maka senang la aku nak jawab...layarilah http://alibukansetan.blogspot.com/ ngeh3...!!!

Rasanya aku akan banyak menulis (kalau rajin) tentang diri aku, atau keluarga aku, atau kawan-kawan aku, atau perkara-perkara yang berlaku di sekeliling aku saja dan aku tak berminat sangat nak cerita hal orang lain... atau cerita pasal isu semasa... atau isu politik... kecuali yang ada kena mengena dengan hidup aku. Lagipun dah terlalu banyak blog lain yang cerita pasal isu-isu tu semua...

Tapi aku rasa tak berbakat sangat dalam penulisan... aku hanya mampu menulis sesedap rasa dan sesuka hati aku dalam gaya bahasa yang biasa-biasa , menggunakan bahasa rojak, atau dalam bahasa pasar yang mungkin kasar dan tunggang-langgang. Aku juga akan cuba sedaya upaya untuk tidak memaki hamun dan mencarut dalam blog ni.... Kalau sudi, baca! Tak sudi, sudah! Aku tak rugi...kau pun tak untung!

Tentang aku...

Aku?
Ali b. Ahmad. Nama yang amat popular untuk dijadikan contoh kalau nak buat ayat, sejak dari masuk tadika sampailah menempuhi alam pekerjaan. Nama ini diberi oleh arwah atuk aku sempena kedatangan petinju legenda pujaannya Muhammad Ali ke KL bertarung menentang Joe Bugner pada 1975, tahun aku dilahirkan. Lahir di Temerloh dan kini menetap di Sungai Buloh.

Status?
Buat para gadis mahupun janda, harap maaf kerana aku telah dimiliki oleh seorang gadis (yang kini tidak gadis lagi). Ipoh mali talak sombong. Belum teringin menambah isteri, cuma ingin menambah zuriat...baru dikurniakan dua orang putera. (Update: Nov. 2009 tambah sorang puteri).




Keluarga?
Agak 'complicated' untuk diceritakan. Tapi aku ceritalah juga sikit. Abah aku berketurunan Cina muallaf dan mak aku Melayu dari etnik Jawa. Aku tak pasti apa keturunan sebenar aku tapi aku isytihar diri aku Melayu je la pasal aku tak reti cakap cina (kecuali sepatah dua perkataan mencarut), aku tak tau cakap jawa kecuali beberapa patah perkataan (seperti wes mangan atau wes ngombey) dan jiwa aku Melayu habis.

Abah & mak berpisah selepas baru 2 bulan anak tunggal mereka dilahirkan (aku la tu), dan sejak itu aku dibesarkan oleh arwah atuk & nenek sebelah mak, diasuh dan ditanggung oleh mak2 saudara & bapak saudara hinggalah aku bersekolah dan bekerja. Atuk & nenek sebelah abah aku, tak taulah macam mana salasilahnya, mungkin ada di China agaknya dan akupun malas nak ambil tau. Kalau ambik tau lebih-lebih nanti tak pasal-pasal tiba-tiba dapat tau aku ni keturunan pemimpin komunis Mao Tze-Tung ke hapa, tak ke cilake tu...

Semasa umur aku 4 tahun, mak aku kahwin lagi dengan seorang duda beranak 4 dan melahirkan 2 orang anak lagi. Umur aku 5 tahun, abah pulak kahwin lagi dengan seorang anak dara dan memperolehi 6 orang anak. Jadi masa sekolah dulu kalau orang tanya berapa orang adik beradik aku, agak terkial-kial untuk aku menjawabnya...nanti aku kira jap...errr...lebih kurang 12-13 macam tu la (termasuk adik beradik tiri). Pening??? Tu la aku dah cakap tadi, memang 'complicated' kan? Cukuplah setakat tu untuk tidak menambahpeningkan aku dan korang!

Pendidikan?
Tak setinggi mana, cuma ada sijil tinggi dan pernah bersekolah di sekolah yang tingginya 4 tingkat. Aku dah serik belajar tinggi-tinggi sebab aku pernah 'jatuh'. Gayat la tinggi-tinggi sangat.

Pekerjaan?
Bertugas di sebuah jabatan kerajaan, tidak berpangkat tapi kuli biasa sahaja... yang selalu diarah-arah oleh bosnya. Rasa-rasa boleh ikut aku ikut... rasa-rasa tak boleh ikut aku lawan...

Itu sajalah yang aku rasa nak kongsikan. Tahniah kepada sesiapa yang berjaya membaca sampai habis. Ini bermakna kau memang berminat untuk mengenali aku.

Hubungi Aku? 
Email je... aliahmad.5809[at]yahoo.com 
kalau nak cari kat fesbuk taip je  Pokli Ali Aloque


TQ

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...